Thursday, 9 February 2012

PERTUNANGAN YANG MENGIKUT SYARIAT

Assalammualaikum…..

Sebelum seorang lelaki ingin menghantar pinangan,
utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang
peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga
sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam
membuat keputusan untuk menerima bakal
menantunya.

Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak
meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan
soal-soal hubungan dengan Tuhan sebagai pokok
utama.

Pertama; adakah fardhu ain si lelaki benar-benar
beres sebab suamilah tunjang yang bakal untuk
mengajar anak-anak dan isteri bila telah
mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan
perlaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu
seperti sembahyang secara individu dan
secara berjemaah. Memerhati matlamat perniagaan
dan perusahaan atau matlamat dalam pekerjaan
lelaki berkenaan.


Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal
hubungan dengan Allah sebagai pokok utama
sejahteranya rumahtangga. Setiap kali
berlangsungnya majlis merisik perkara utama yang
akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan
saja syarat yang akan mensejahterakan dan
mengukuhkan rumahtangga.

Tidak hairanlah bila lepas kahwin kehidupan anak-
anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk
ajar yang sewajarnya. Akhirnya anak-anak tidak
taat kepada ibubapa dan isteri jadi ‘Queen Control’
kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di
dalam mentadbir
rumahtangga menurut hukum Islam.

Seperkara lagi, jangan dibebani rombongan
peminangan dengan berbagai-bagai hantaran yang
mahal-mahal. Contohnya pakaian, makanan, buah-
buahan, alat solek, beg tangan, kasut, cincin
bertunang, cincin nikah dan cincin hadiah.
Memadai dngan sebentuk cincin saja sudahlah.

Harus diingat, yang paling layak dalam menentukan
mas kahwin ini ialah diri wanita itu sendiri, kerana
mas kahwin itu memang haknya. Walau
bagaimanapun sekarang ini semua negeri sudah
menetapkan berapa mas kahwin untuk wanita
tersebut bila berkahwin, boleh kita terima, tetapi
sekiranya diri wanita tersebut hendak menetapkan
berapa mas kahwinnya, kita perlu hormati.
Begitulah kehendak syariat.

Sebab itulah dalam soal ini, Rasulullah
memaklumkan kepada umat Islam bahawa mas
kahwin yang paling baik yang terendah. Sabda
Rasulullah saw:

“Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang
terlebih murah mas kahwinnya.”

Sabda Rasulullah saw lagi:

“Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling
sediki mas kahwinnya.”

Bersabda Baginda lagi:

“Setengah daripada berkat permpuan itu iaitu
segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu
kepada beranak dan murah mas kahwinnya.”

Kita patut mengetahui setengah daripada mas
kahwin isteri Rasulullah saw itu hanya sepuluh
dirham saja; sama nilainya dengan harga batu
pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji
bantal di rumahnya.

Setengah daripada para sahabat berkahwin dengan
mas kahwin hanya seberat sebiji buah kurma (lebih
kurang lima dirham)

Manakala Said Ibnu Musayyab mengahwinkan anak
perempuannya dengan Abu Hurairah berbekalkan
mas kahwin sebanyak dua dirham sahaja.

Sayidina Umar sangat melarang jika ada wali-wali
perempuan yang menaikkan mas kahwin anak gadis
mereka. Katanya:

“Tiada berkahwin Rasulullah dan tiada
mengahwinkan ia anaknya yang perempuan dengan
isi kahwin yang lebih daripada empat ratus dirham.”

Mas kahwin bukanlah semestinya hanya dengan
wang atau emas permata, ayat-ayat Al Quran juga
boleh dijadikan mas kahwin. Contohnya ayat dalam
surah Al Fatihah atau Al Ikhlas, tidak kiralah
seberapa banyak yang dikehendaki.

Setelah bertunang, janganlah mengenakan sesuatu
tempuh yang agak lama jaraknya dengan
penikahan. Sebaik-baiknya dilaksanakan
pernikahan itu secepat mungkin agar terhindar dari
berbagai fitnah manusia.

Elakkan pertemuan yang sia-sia semasa dalam
pertunangan. Islam tidak memberikan kebebasan
bergaul selepas meminang kerana menjaga maruah
wanita dan lelaki itu sendiri. Pertunangan yang
dibuat bukanlah sebagai tiket yang membolehkan
seseorang lelaki itu untuk bergaul atau berdua-
duaan dengan bakal isterinya.

Rasulullah saw bersabda lagi yang maksudnya:

“Tidak boleh sekali-kali seorang lelaki menyendiri
dengan perempuan yang tidak halal baginya,
kerana orang ketiganya nanti adalah syaitan,
kecuali kalau ada muhramnya.”

Diharapkan kite semua mendapat teman hidup yg akan membuatkan kite lebih menyintai Allah s.w.t..
Amin ya robb.....

No comments:

Post a Comment